PM Labuan rampas minuman keras tiada cukai

RAMPASAN: Minuman keras yang dirampas dipercayai hendak diseludup dari Labuan ke Tanah Besar Sabah.

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) WP Labuan merampas minuman keras tidak bercukai di kawasan laut Mempakul, di sini awal pagi kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM WP Labuan ASP Saidul Maruf Rosli berkata pihaknya membuat pemantauan di sekitar kawasan laut berkenaan terserampak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, bot yang diarahkan berhenti itu memecut laju ke kawasan cetek di pesisir pantai Mempakul.

“Suspek dari bot terbabit terus melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan gagal dikesan.

“Pemeriksaan terhadap bot terbabit mendapati muatan berbungkus plastik hitam yang dibawa merupakan minuman keras dipercayai belum bercukai ingin diseludup dari Labuan ke Tanah Besar Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, minuman keras dan sebuah bot berserta dua buah enjin bot dirampas dan nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM36,605.63.

Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967.

Saidul Maruf berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197.

scroll to top