Oleh YUSOP TEPPO
BELURAN: Polis Beluran telah melancarkan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang sempena menyambut bulan kemerdekaan dan ulang tahun hari kemerdekaan yang ke 64 pada 31 Ogos ini.
Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata bersempena dengan bulan kemerdekaan ini bersama sama lah kita menunjukkan semangat kemerdekaan dari segenap lapisan masyarakat untuk bersatu menentang ancaman wabak covid 19 yang sedang melanda di masa kini.
“Pada tempoh yang sangat mencabar ini, seluruh negeri Sabah telah menjadi kawasan merah termasuklah daerah Beluran yang sebelum ini bertahan sebagai daerah kawasan hijau.
“Ini menunjukkan bahawa wabak Covid 19 ini tidak pernah berhenti mengancam manusia. Oleh yang demikian semangat kemerdekaan ini harus di adaptasi bagi menentang virus yang sangat merbahaya ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran juga giat menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan masyarakat setempat terhindar dari ancaman wabak Covid-19 ini.
“Pelaksanaan Sekatan Jalan Raya, Pasukan Pemantau dan Operasi ‘Op Patuh’ bagi memastikan pematuhan SOP bagi mengelak daripada jangkitan.
“Selain dari pada penguatkuasaan SOP pihat IPD juga turut membantu masyarakat yang terkesan dengan pengagihan bakul makanan dalam program Op Bantu yang diusahakan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Sedia maklum Perdana Menteri telah mengumumkan kelonggaran bagi penerima Vaksin yang telah lengkap 2 dos berkuatkuasa 10 Ogos 2021.
Pihak MKN negeri Sabah telah mengeluarkan SOP dikemaskini pada 6 Ogos 2021 dan meminta masyarakat meneliti berkait dengan SOP baharu tersebut sebelum melakukan sesuatu pergerakan.
Kasim berkata walaupun terdapat kelonggaran namun menasihatkan agar untuk tidak berada di tempat awam tanpa sebarang tujuan.
“Jika tiada sebarang keperluan warga emas berusia melebihi 70 tahun tidak digalakkan untuk berada di tempat awam manakala kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata dengan kerjasama semua pihak dan masyarakat ini, diharap dapat mendidik masyarakat agar lebih patuh dengan SOP bagi keselamatan bersama.
“Pihak IPD Beluran meminta agar semua masyarakat menerapkan semangat kemerdekaan untuk memerangi wabak Covid-19 umpama menentang penjajah untuk mendapatkan kemerdekaan suatu ketika dahulu,” katanya.