KOTA BELUD: Polis melakukan dua tangkapan berasingan di sini melibatkan kes memiliki senjata api buatan sendiri (bakakuk) dan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjatapi 1960.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt. Sahimi Husin berkata jika sabit kesalahan, dua individu yang ditangkap itu berhadapan hukuman penjara dan denda.
“Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, atau didenda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sahimi menyeru penduduk kampung khususnya di daerah Kota Belud agar tidak terlibat membuat, menyimpan dan menggunakan senjata itu yang dalam bahasa tempatan disebut ‘bakakuk’.
Sahimi juga meminta orang ramai agar tampil memberi maklumat kepada pihak polis jika mengetahui ada sesiapa yang menyimpan atau memiliki senjatapi buatan sendiri, yakni tanpa lesen sah di sisi undang-undang.
Jelasnya pihak polis sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan senjata itu di rumah-rumah atau tempat-tempat yang dipercayai ada menyimpan senjatapi buatan sendiri.– Sumbangan GINDANAU SAKAT