Oleh HENRY BATING
LABUAN: Polis menangkap tiga lelaki tempatan berumur antara 27-38 tahun di satu kawasan perumahan di Kg Lajau pada Ahad kerana disyaki terlibat kesalahan dadah.
Ketua Polis Daerah WP Labuan Supt. Ahmad Jawila berkata penangkapan dibuat kira-kira 1.40 petang selepas pemeriksaan kenderaan yang dinaiki tiga lelaki berkenaan.
“Penangkapan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Labuan,” katanya.
Ahmad menjelaskan, hasil pemeriksaan dalam kenderaan, polis menemui sebuah beg kecil di bawah lantai tempat duduk hadapan yang diserahkan oleh salah seorang suspek.
Menurut Ahmad, dalam beg tersebut didapati mengandungi tujuh paket plastik lutsinar berlainan saiz yang berisi ketulan-ketulan kristal jernih disyaki mengandungi dadah jenis syabu.
Ahmad menambah, tujuh paket lutsinar yang dirampas untuk tindakan itu memiliki berat lebih kurang 6.67 gram dengan pasaran semasa dianggar bernilai RM600.00.
Manakala semua suspek ditahan untuk tindakan selanjutnya.
“Ujian air kencing semua suspek menunjukkan positif dadah jenis ‘Meth’ dan ditahan reman selama empat hari sehingga 26 Ogos 2021,” katanya.

SYABU … Ketulan lutsinar yang dirampas.
Semakan kes lampau, katanya mendapati kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara salah seorang suspek pernah dipenjara enam tahun atas kesalahan rompakan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Ahmad menyatakan, sabit kesalahan boleh membawa hukuman di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu penjara tidak kurang dua (2) tahun dan tidak lebih lima (5) tahun serta 3-9 sebatan.
Hukuman juga boleh dijatuhkan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda sehingga RM5,000.00 dan penjara sehingga dua (2) tahun.