Polis Lahad Datu Tahan Dua Individu Disyaki Pengedar Dadah

ROHAN SHAH AHMAD

LAHAD DATU: Polis Lahad Datu berjaya memberkas seorang mandor dan seorang pekerja ladang wanita yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang di sebuah rumah pekerja ladang di Jalan Lahad Datu -Sandakan, di sini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, hasil risikan maklumat orang awam berhubung kegiatan itu, sepasukan Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bertindak membuat serbuan ke atas rumah berkenaan.

“Pasukan serbuan  mendapati terdapat seorang lelaki, 39, dan wanita,52, berada di ruang tamu rumah berkenaan.

“Namun,  polis tidak menemui sebarang benda salah semasa pemeriksaan fizikal dilakukan terhadap kedua-dua suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Rohan berkata, anggota polis yang membuat pemeriksaan ke atas rumah berkenaan telah menemui satu beg bimbit dan beg kecil berwarna hitam dipercayai milik suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut, beg berkenaan mengandungi empat paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 200.56 gram yang dianggarkan bernilai lebih RM20,000.

“Kedua-dua suspek yang merupakan warga asing itu juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Rohan berkata, ujian saringan awal yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka bebas daripada sebarang jenis dadah.

“Kesemua suspek serta barang rampasan termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda dan motorsikal yang dianggarkan bernilai lebih RM130,000 itu ditahan untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.

Menurut Rohan, berdasarkan jumlah dadah yang  dirampas, ianya boleh menampung penggunaan seramai 26,000 orang penagih dadah di sekitar daerah ini sehingga Kinabatangan.

“Polis menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat berkenaan penyalahgunaan dadah di sekitar mereka agar tindakan dapat diambil,” katanya.

scroll to top