Polis Marin Kudat Rampas Rokok Tanpa Cukai

ROKOK TIADA CUKAI: Anggota PPM menunjukkan rokok tidak bercukai yang dirampas.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat berjaya merampas 1,350 bungkus rokok tidak bercukai di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di kawasan Jalan Perapat Limau-Limauan Kudat malam kelmarin.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Kudat ASP Cyril Douglas berkata, kira-kira jam 9 malam kelmarin, semasa menjalankan OP Benteng Covid pihaknya telah mengenal pasti sebuah kenderaan yang telah diletakkan dalam keadaan mencurigakan di pinggir jalan Perapat Limau-Limauan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan terbabit menjumpai  sejumlah 1,350 bungkus rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai.

“Pemerhatian dan pemantauan telah dilakukan namun tiada individu datang menuntut kenderaan terbabit. Nilai rokok dan kenderaan berkenaan dianggarkan berjumlah RM40,250,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Cyril berkata, rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Masyarakat disarankan menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp di talian 013-2831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan,” katanya.

scroll to top