Polis Marin Rampas Rokok Seludup

RAMPAS: Anggota Polis Marin menunjukkan rokok tanpa cukai yang dirampas.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna merampas rokok tanpa cukai yang diseludup guna bot di kawasan laut Kampung Selamat dekat sini, petang kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna DSP Mohamad Ismail berkata, semasa menjalankan rondaan di kawasan laut berkenaan, pasukan rondaan terserempak dengan sebuat bot yang dijuragani seorang lelaki dewasa dalam keadaan mencurigakan.

“Setelah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, suspek bertindak melarikan diri ke arah kawasan bakau Kampung Selamat.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit menjumpai dua karung putih berisi rokok putih dan satu beg hitam berisi kotak rokok. Suspek dipercayai membawa rokok tanpa cukai dari Filipina,” katanya menambah, rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM43,300.

Katanya, rampasan dibawa ke Markas PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya, dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Mohammad berkata, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197.

scroll to top