Oleh MARIAYATI MURSIDI
SANDAKAN: Polis Daerah Sandakan mengambil tindakan segera dengan mengarahkan pasukan pematuhan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Harmoni, Batu 3, dekat sini bagi mengawal keadaan sehingga program vaksinasi selesai.

MOHD AZHAR HAMIN
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, tindakan itu diambil berikutan video yang tular berhubung kesesakan orang ramai yang berlaku di PPV terbabit hari ini.
Menurutnya, pihaknya terkesan dengan video tular yang berdurasi selama 29 saat menunjukkan kesesakan orang ramai di PPV Taman Harmoni, Batu 3.
“Tindakan segera diambil dengan mengarahkan pasukan pematuhan ke PPV berkenaan bagi mengawal keadaan.
“Hebahan telah dibuat kepada orang ramai yang hadir supaya mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pasukan pematuhan berjaya mengawal keadaan di PPV berkenaan sehingga program vaksinasi selesai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Justeru katanya, pihak PDRM memohon kerjasama daripada orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh MKN.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran SOP ini boleh menghubungi IPD Sandakan di talian 089-242 217 atau hotline IPD Sandakan 089-212 222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.