Polis selesai kes bunuh lelaki

PIHAK polis sedang menyiasat mayat mangsa yang ditemukan di semak berkenaan.

KOTA KINABALU: Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh membabitkan seorang lelaki yang ditemui mati di sebuah kawasan semak di Jalan Kionsom Lama, Inanam, di sini, malam tadi, selepas menahan suspek, kelmarin.

Suspek berusia 43 tahun terbabit berjaya ditahan di rumah sewanya di Kampung Bambangan, Inanam, di sini, jam 11.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika ditahan, suspek yang berkerja sebagai tukang cat kenderaan turut memiliki telefon pintar milik mangsa.

Katanya, ketika ditahan, suspek mengaku terlibat dalam kes kematian membabitkan mangsa berusia 25 tahun yang dipercayai mati akibat dijerut di leher menggunakan wayar elektrik.

“Berikutan pengakuan dan barangan milik mangsa yang dirampas daripada suspek, polis percaya kes bunuh yang dilaporkan jam 8 malam tadi, berjaya diselesaikan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan sebelum pendakwaan terhadap suspek dijalankan,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Mohd Zaidi Abdullah berkata, susulan laporan penemuan mayat diterima, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi untuk siasatan lanjut.

Katanya, operasi turut dibantu anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Siasatan awal, mangsa dikatakan dihantar bapanya ke lokasi kejadian untuk bertemu dengan seorang pemilik bengkel pada kira-kira jam 1 petang.

“Selepas itu, mangsa dikatakan sempat menghantar lokasi menerusi aplikasi WhatsApp kepada bapanya namun usaha mencari mangsa selepas itu gagal menemuinya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE) bagi tujuan bedah siasat selepas mendapatkan keputusan ujian saringan Covid-19.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.

scroll to top