Polis selesaikan kes curi kenderaan

Suspek berjaya ditahan pada jam 11.30 pagi, kira-kira 14 jam selepas kereta Isuzu D-Max yang dicuri terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Timbang Batu.

KOTA MARUDU: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes curi kenderaan yang dilaporkan berlaku di Kampung Sumbilingon, di sini, Selasa lalu.

Suspek berjaya ditahan pada jam 11.30 pagi, kira-kira 14 jam selepas kereta Isuzu D-Max yang dicuri terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Timbang Batu, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat pemilik kenderaan terbabit pada jam 10.26 malam.

Katanya, sebaik laporan diterima, polis terus melancarkan operasi Op Kesan bagi mengesan kenderaan dan suspek terlibat.

“Hasil siasatan, polis menerima maklumat orang awam yang memaklumkan kejadian kenderaan pacuan empat roda yang terbabas.

“Hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati, kenderaan berkenaan adalah sama dengan laporan kereta yang dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, pada Jumaat.

Zairolnizal berkata, hasil soal siasat awal yang dijalankan, suspek akhirnya mengaku mencuri kenderaan pacuan empat roda berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah dijatuhkan hukuman bersabit Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Putrajaya.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methaphetamine,” katanya.

Zairolnizal berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

SUSPEK

“Syabas dan tahniah kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu atas kejayaan tangkapan ini.

“Terima kasih juga kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.

scroll to top