PPD Tawau lancar Buku Kompilasi Amalan Legasi Kepimpinan

LANCAR…Datuk Tah Nia bersama penulis dan barisan kepimpinan PPD Tawau dalam Majlis Pelancaran Buku Kompilasi Amalan Terbaik Legasi Kepimpinan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau 2022

TAWAU: Pejabat Pendidikan Daerah Tawau berjaya mengadakan Majlis Pelancaran Buku Kompilasi Amalan Terbaik Legasi Kepimpinan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau 2022  bertempat di Hotel Royal Borneo Tawau pada 19 Disember 2022.

PPD Tawau, Zamri Haji Pehakan

Kompilasi ini  menghimpunkan 11 penulisan amalan terbaik kepimpinan yang dihasilkan oleh pengetua dan guru besar  (PGB) yang  akan bersara dalam tempoh 2022-2025.

Ia adalah  satu kerugian besar sekiranya pengalaman mereka yang bermakna ini tidak dikongsikan bersama. Sehubungan itu, PPD Tawau berusaha menyediakan platform perkongsian melalui penerbitan kompilasi ini.

Penulisan ini mengutarakan tiga tema kepimpinan utama (Pengurusan/Kurikulum dan pembangunan Murid) yang boleh dijadikan panduan kepada PGB dan bakal PGB  dalam menerajui kepimpinan kini dan masa hadapan

Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Zamri Haji Pehakan yang juga  peneraju penerbitan Kompilasi Amalan Terbaik Legasi Kepimpinan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau melahirkan rasa syukur atas penerbitan kompilasi ini untuk siri kedua selepas penerbitan jurnal Pendidikan pada tahun 2021.

Katanya, kejayaan penerbitan kompilasi ini adalah atas usaha sama Sektor Perancangan, Hajah Norlela Ansley  bersama AJK yang terlibat  dan  mendapat sokongan dari semua sektor di Pejabat Pendidikan Daerah Tawau.

Zamri  menyifatkan bahawa penerbitan Kompilasi ini sebagai buku yang menghimpunkan pengalaman, pengetahun dan kerja buat cemerlang akan dapat dimanfaatkan sebagai pembugaran idea dalam pelbagai ruang dan pengalaman untuk menjana kecemerlangan sistem pengurusan sekolah.

“Sesungguhnya penyelidikan dan penulisan merupakan strategi utama dalam memperkasakan sistem pendidikan, oleh itu budaya penyelidikan perlu digarap  dalam kalangan guru dan juga pemimpin,” katanya.

Sehubungan  itu, Pejabat Pendidikan Daerah Tawau sendiri mengambil inisiatif meletakkan penerbitan  jurnal sebagai KPI setiap tahun dan Alhamdulillah tahun ini merupakan tahun kedua hasil penerbitan oleh PPD Tawau.

Penerbitan kompilasi Amalan terbaik ini, menghimpunkan barisan penulis terdiri dari pengetua sekolah, Ustaz Hasni Hassan (SM Islamiah Tawau), Puan Djuhriah @ Juriah Ahmad (mantan pengetua SMK Jambatan Putih), Faridah Haji Ali (SMK Umas-Umas) dan Dr Rabe Juhari (SMK Merotai Besar). Manakala Sekolah rendah pula diwakili oleh Samad Haji Uda (Mantan Guru Besar SK Pasir Putih), Sulaiman Wabi (SK Taman Tawau), Hajah Rasinah Bansil (SK Blok 31), Ahmad Termizi Haji Mohd Noor (SK Luasong) dan Shofian Abdul Ghani (SK Bukit Quoin). Manakala PPD Tawau diwakili oleh Haji Haerom Marjuki (SISC+).

Ketua Editor jurnal, Dr Gulson Begum Hj Khalid yang juga  Penolong Pegawai Sektor Perancangan memaklumkan bahawa kesemua penulis ini memaparkan hasil penulisan dalam bentuk pelaporan amalan terbaik standard, ia mudah untuk dijadikan panduan kerana bentuk penulisan yang santai dan berstrukur dan  pembaca dapat mengaplikasikan tindak buat yang telah mereka laksankan untuk mengangkat kecemerlangan sekolah mereka berdasarkan aspek yang mereka laporkan.

Pihak Pejabat Pendidikan Daerah Tawau membantu penulis dengan memberi bimbingan melalui 3 fasa bengkel penulisan.

Salah satu bengkel yang diadakan dengan menjemput Dr Jamela Bibi Abdullah dari Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands bersama-sama membimbing barisan penulis bagi memastikan hasil penulisan menepati standard penulisan amalan terbaik.

Sementara itu, Hajah Djuhriah, mantan pengetua SMK Jambatan Putih yang  bersara pertengahan tahun 2022 , salah seorang penyumbang penulisan kompilasi, bersyukur dan berterima kasih kepada PPD Tawau atas inisiatif penerbitan kompilasi ini.

Bagi beliau usaha ini dapat menyediakan ruang dan peluang untuk beliau julung kalinya berkongsi pengalamannya dan beliau mengutarakan penulisan bertajuk PAKSI  dengan menekankan konsep kepimpinan instruksional  bagi meningkatkan kecemerlangan organisasinya.

Beliau berharap usaha ini dapt diteruskan bagi memberi peluang kepada rakan-rakan lain berkongsi pengetahuan dan  pengalaman yang bermakna bagi mereka dan boleh membantu rakan pemimpin lain

Dalam usaha menyebarluaskan hasil kajian, Pejabat Pendidikan Daerah Tawau menjemput rakan strategik bersama dalam majlis pelancaran yang diadakan di Hotel Borneo Royale, Dr Najamuddin Bachora iaitu Pengarah Institusi Perguruan Guru Kampus Tawau, Puan Zosy Ginsos mewakili Ketua Perpustakaan Wilayah Tawau, Puan Judy Rohaya Lee Ketua Jemaah Nazir Cawangan Tawau dan Puan Faridah Muri, pengarah Open Universiti Malaysia Cawangan Tawau untuk menerima naskah jurnal berkenaan,

Disamping itu, 98 pengetua, guru besar, bekas peserta NPQEL,serta nazir di daerah Tawau hadir bersama di majlis pelancaranberkenaan

Turut hadir bersama semua Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau dan Penolong-penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tawau. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, YBhg Datuk Tah Nia Haji Jaman.

Dalam ucapan pelancarannya, Datuk Tah Nia  mengucapkan  setinggi tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Tawau atas penerbitan kompilasi ini.

Beliau turut menekankan kepentingan penerbitan kompilasi ini kerana dapat meningkatkan motivasi dan menjadi inspirasi kepada semua warga pemimpin dalam menerajui kepimpinan organisasi yang cemerlang.

Beliau sempat berpesan kepada warga pemimpin agar menjadikan perancangan strategi sebagai kitab utama dalam mengurus organisasi. Bagi beliau, perancangan strategi merupakan kunci utama kecemerlangan pengurusan organisasi.

Pengarah  sempat berkongsi PSO JPN 2023-2025 yang berteraskan slogan JPNS:Sepakat Sabah HEBAT. Dalam PSO tersebut ia berfokus kepada 4 tonggak utama : Pemimpin berkesan, Guru Berkualiti, Sokongan PIBG dan Komuniti dan Persekitaran PdPC bermakna (TS25)  dan 4 Teras Utama: Peningkatan pencapaian kurikulum, pembangunan sahsiah murid, pembangunan kokurikulum dan sukan dan memantapkan sistem sokongan.

TURUT HADIR….Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Semua Timbalan Pegawai Daerah Tawau dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tawau.

Beliau berharap agar barisan pemimpin sentiasa membudayakan penyelidikan dan memantapkan pengurusan organisasi melalui PSO yang terancang dan dilaksanakan secara permuafakatan antara sektor  di peringkat PPD dan di peringkat sekolah pula melibatkan Penolong-penolong kanan.

Beliau merakamkan penghargaan atas   usaha murni PPD Tawau yang sentiasa mengekalkan penerbitan wadah perkongsian setiap tahun dan diharapkan  usaha ini akan berterusan pada tahun-tahun akan datang .

scroll to top