PPM Gagalkan Cubaan Seludup Barang Kawalan

RAMPASAN: Barang kawalan tanpa permit yang berjaya dirampas.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menahan sebuah bot pam disyaki membawa barang kawalan tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa di kawasan laut Batu 3 di sini awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Sandakan DSP Rusdin Banin berkata, semasa pemeriksaan bot dijalankan juragan bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan tanpa dikesan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan mendapati terdapat beberapa jenis barang kawalan tanpa permit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dan enjin bot berjumlah RM16,561.85.

Katanya, rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Justeru katanya, PPM Wilayah 4 Sabah mengalu-alukan masyarakat maritim dan pesisir pantai untuk menyalurkan maklumat kepada pihaknya melalui aplikasi WhatsApp ke talian 013-9391197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan.

scroll to top