PPM gagalkan cubaan seludup benih sawit ke negara jiran

RAMPAS: Beberapa benih pokok sawit yang disyaki hendak dibawa ke Sungai Panchang, Indonesia dirampas PPM Tawau.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menghalang cubaan menyeludup benih pokok sawit tanpa bukti pembelian dan sebarang dokumen daripada pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di kawasan sungai di Tawau.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau DSP Ridzauddin Selamat berkata, pasukan berjaya menahan sebuah bot yang dijuragani oleh seorang lelaki berumur 21 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai beberapa benih pokok sawit yang disyaki hendak dibawa ke Sungai Panchang, Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Nilai rampasan termasuk jongkong adalah sebanyak RM21,280.

Kes disiasat di bawah Akta 582 (Peraturan Pelesenan) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ridzauddin berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628.

scroll to top