Oleh MARIAYATI MURSIDI
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan cubaan menyeludup minyak masak di kawasan laut Singamata Resort dekat sini pagi kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPMSemporna DSP Mohammad Ismail berkata, ketika menjalankan operasi pasukan terserempak dengan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan di kawasan laut berkenaan.
“Ketika menghampiri bot laju terbabit, juragan bertindak melarikan diri dengan memecutkan bot ke kawasan perumahan atas air Kg. Batu dan juragan terjun ke air melarikan diri.
“Pemeriksaan terhadap bot berkenaan menjumpai beberapa bungkus minyak masak dan satu jerikin berisi minyak petrol. Minyak masak ini dipercayai hendak diseludup ke Filipina,” katanya, menambah nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM22,480.00.
Beliau berkata, kes diserahkan kepada pihak KPDNHEP dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197.