SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan cubaan menyeludup minyak petrol ke Filipina, di kawasan laut Pulau Boheian dekat sini, awal pagi kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, semasa pasukan membuat rondaan di kawasan laut berkenaan telah terserempak dengan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.
“Bagaimanapun, semasa hendak melakukan pemeriksaan, suspek bertindak terjun ke dalam laut dan melarikan diri ke kawasan air cetek di pesisir Pulau Boheian,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam ruangan bot menjumpai beberapa jerikin berisi minyak petrol.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM36,677.50.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
Mohamad berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197.