PPM Gagalkan Cubaan Seludup Tong Gas Ke Negara Jiran

TAHAN: Suspek ditahan PPM Tawau bersama beberapa tong gas yang cuba diseludup ke negara jiran.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menggagalkan cubaan menyeludup tong gas ke negara jiran setelah berjaya menahan seorang lelaki dan merampas beberapa tong gas di kawasan sebuah kampung di sini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, kira-kira jam 9.30 pagi hari ini pihaknya dalam satu operasi telah menahan seorang lelaki sedang menjalankan aktiviti memunggah tong gas dari sebuah kenderaan dipindahkan ke dalam sebuah perahu dan dipercayai diseludup ke Indonesia.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan gagal menunjukkan sebarang permit kebenaran untuk membawa barang kawalan dari pihak Kementerian Pedagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKHEP).

“Lelaki dan sebuah kenderaan beserta tong gas telah ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM43,701.20.

Ridzauddin berkata, PPM Wilayah 4 Sabah menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi WhatsApp Pusat Kawalan PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983268 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

scroll to top