PPM Labuan Rampas Rokok Tidak Bercukai

RAMPASAN: Rokok tidak bercukai pelbagai jenama bernilai RM3,243.60 yang dirampas.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) WP Labuan merampas rokok tidak bercukai di kawasan tebing laut Ujong Pasir di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM WP Labuan ASP Saidul Maruf Rosli berkata, dalam satu operasi membuat pemantauan kira-kira jam 1.45 pagi di kawasan berkenaan terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Bot terbabit diarahkan untuk berhenti bagi melakukan pemeriksaan. Bagaimanapun, bot itu memecut laju ke kawasan yang cetek di kawasan laut Saguking.

“Manakala seorang lelaki yang berada di tebing laut kawasan berkenaan mencampak dan meninggalkan sebuah beg plastik hitam lalu melarikan diri ke kawasan darat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan oleh anggota operasi di kawasan tebing laut menjumpai satu beg plastik besar berwarna hitam yang berisi sejumlah rokok tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM3,243.60.

Katanya, barangan berkenaan dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM WP Labuan untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Sekysen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Saidul berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197.

scroll to top