PPM patahkan aktiviti bom ikan

IKAN BOM: Pukat berisi pelbagai jenis ikan yang disyaki ditangkap dengan menggunakan bom ikan.

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya mematahkan aktiviti bom ikan di kawasan Laut perairan Lahad Datu petang kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata, Polis Marin mengejar sebuah perahu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, setelah beberapa minit mengejar, pihaknya menemui perahu terbabit ditinggalkan di pesisiran pantai laut berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas perahu terbabit, pihak polis menemui peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti bom ikan dan menemui beberapa pukat berisi pelbagai jenis ikan. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,750,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.

PERALATAN: Peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti bom ikan.

Katanya, rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu.

Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan diserah ke Jabatan Perikanan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Gan berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197.

scroll to top