PPV IPT UMS Bantu Sabah Capai Imuniti Kelompok

TANYA KHABAR ...Hajiji (dua dari kiri) sedang menyantuni para penerima vaksin yang hadir ke PPV IPT UMS.

KOTA KINABALU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini membantu Sabah mencapai imuniti kelompok.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata inisiatif menara gading itu berupaya meningkatkan jumlah penerima vaksin di negeri ini dengan kapasiti mencecah 3,000 dos mulai minggu depan.

“Saya dimaklumkan bahawa mulai minggu depan, kapasiti pemberian vaksin oleh PPV UMS adalah sebanyak 3,000 dos sehari berbanding hanya 1,000 dos sehari pada masa sekarang.

“Ini membolehkan Sabah mencapai imuniti kelompok apabila 2.7 juta penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin COVID-19,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV IPT UMS, di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, di sini hari ini.

CENDERAMATA…Hajiji (kanan) menerima cenderamata dari UMS yang disampaikan Taufiq.

PPV IPT UMS yang mula beroperasi sejak 14 Jun lalu, telah membantu seramai 13,729 orang mendapatkan vaksin setakat hari ini melibatkan kakitangan dan pelajar universiti itu selain orang awam.

Hadir mengiringi Hajiji, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Rose Nani Mudin, Mayor DBKK Noorliza Awang Alip, Naib Canselor UMS Prof. datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin serta Timbalan Rektor UiTM Sabah Dr Jasmine David.-Penerangan.

scroll to top