PPV Perlu Ditambah di Luar Bandar

TANYA ...Nadzerah (kiri) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang penerima vaksin.

KOTA KINABALU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu ditambah lebih banyak khususnya di kawasan luar bandar untuk meningkatkan pemberian vaksin kepada orang ramai.

DIANA

Pegawai Daerah Kota Belud, Diana Abdullah berkata, sambutan masyarakat terhadap vaksin Covid-19 khususnya di kawasan pedalaman amat luar biasa dan sungguh menggalakkan.

“Penambahan PPV di setiap daerah akan lebih memudahkan masyarakat luar bandar untuk mendaftar, seterusnya mendapatkan suntikan.

“Selain itu, ia juga dapat meringankan beban kos yang perlu ditanggung berbanding menerima janji temu suntikan vaksin di kawasan bandar,” katanya ketika ditemui media dalam Program Outreach CITF Kota Belud di Dewan Kampung Lasau Minunsud, pada Ahad.

Beliau yang juga Pengerusi Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) daerah Kota Belud memberitahu, pihaknya akan terus mempergiatkan program-program seumpamanya di seluruh tempat yang melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah tersebut.

“Program sebegini amat memberi kesan serta mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat luar bandar untuk mendaftar dan menerima suntikan vaksin dengan segera,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebanyak 600 dos pertama vaksin jenis Sinovac disediakan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi program vaksinasi Covid-19 di kampung itu.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah dan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Rosok, Dr Rafidah Lamit.-Penerangan.

scroll to top