Program Jejak Prihatin COVID-19 Di Ranau

ALBUM ... Gambar kenangan bersama AJK program Jejak Prihatin ‘Bantuan Covid-19’  Kg Kigiok dan Kg Kinapulidan Ranau Sabah. Berdiri dari kiri atas pentas Roslan Awang, Anik Baringat , Jemien Sundok, Jasni Litah, Sairin Kasaman,  Roslin Sekimon dan Janih Bangud. Berdiri di bawah pentas sebelah kiri Rosliah@Roseliah Sekimon Adin, Isma Jasle, Ahidi Kasaman, Lasah Saruman, Rosdiah Saruman dan Lansar Tanjong.

RANAU: Susulan penularan wabak Corona Virus Disease 2019 (COVID-19) yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Etiqa Takaful telah menzahirkan keprihatinan dengan mengadakan program Jejak Prihatin ‘Bantuan Covid-19’ bagi membantu masyarakat di negeri Sabah yang terjejas teruk kesan daripada wabak tersebut khususnya dari kalangan asnaf dan golongan miskin.

SERAH … Janih (dua kiri) menyerah bakul makanan kepada Ahidi Kasaman Ketua Kampung Kigiok.

Projek ini adalah satu inisiatif bantuan prihatin yang dianjurkan oleh pihak IAM bersama-sama pihak Etiqa Takaful iaitu rakan kemanusiaan bagi membantu meringankan beban golongan asnaf dan miskin susulan pelaksanaan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri Sabah di bawah Program tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa.

WAKIL KG KITUNTUL LAMA …  Janih menyerahkan bakul makanan kepada Hadizah Masuari.

Melalui program ini, pihak Etiqa Takaful, sebagai rakan kemanusiaan IAM telah membiayai sumbangan berbentuk pek makanan kepada 250 keluarga untuk peringkat negeri Sabah yang melibatkan golongan yang kurang berkemampuan khususnya golongan asnaf yang kehilangan sumber pendapatan berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

SUMBANGAN … Roslan Awang menyerah bakul makanan kepada  Jasni Litah Pengerusi  Kg .Kigiok.

Setiap keluarga menerima sumbangan berupa wang tunai RM50 berserta pek makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan harian seperti beras, gula, susu, minyak masak, tepung, dan lain-lain bagi mengurangkan beban kesusahan yang mereka hadapi, agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup di sepanjang tempoh PPN berkuatkuasa.

Pelaksanaan projek ini memberi fokus kepada golongan yang kurang berkemampuan khususnya dari kalangan asnaf serta golongan miskin yang bekerja sendiri dan yang terjejas teruk akibat kehilangan punca pendapatan sewaktu tempoh PKP berkuat kuasa khususnya kepada penduduk di kawasan pedalaman Sabah iaitu di Kampung Kigiok dan Kampung Kinapulidan, Ranau.

SERAH … Janih menyerah bakul makanan kepada Junis Ali wakil Kg. Lipoi.

Misi Bantuan ini telah diketuai oleh wakil IAM di negeri Sabah iaitu Ust Roslan Awang.

Turut hadir bersama dalam program ini adalah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Sukan Negeri Sabah, Janih Bangud, Ketua Kampuang Kigiok, Ahidi Kasaman, Pengerusi JPKK Kg Kigiok, Jasni Litah, JPKK Kg Kinapulidan Narkibin@Najid Mohd Nasir dan beberapa orang wakil penduduk kampung.

scroll to top