Oleh MARIAYATI MURSIDI
KENINGAU: Projek menaik taraf jalan Sinaron, Sook, Keningau ke Linayukan, Tongod, yang merentasi daerah Keningau dan Tongod serta berada dalam kawasan DUN Tulid (P182 Pensiangan) dan DUN Kuamut (P187 Kinabatangan) akan bermula pada Julai 2021.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek ini bernilai lebih RM320 juta dan telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-11, Rolling Plan Kedua (RMKe-11, RP2) pada 2017 tetapi tergendala selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2018.
Namun katanya, projek ini sekarang disambung semula dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan akan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan.
“Jajaran jalan sejauh 40 kilometer dengan pembinaan tujuh buah jambatan baharu ini menghubungkan Sook ke Tongod melalui Kampung Monggorimot, Lalampas dan Linayukan yang akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar 19 buah kampung seperti Kampung Sinaron, Sinaron Tengah, Sinua, Mansiat, Lalapakon, Widudun, Maliau, Bibilod, dan Kampung Langkabong.
“Pembinaan jalan baharu ini akan mengurangkan jarak dan memendekkan masa perjalanan yang menghubungkan Pekan Sook ke Tongod,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Arthur berkata, pelaksanaan projek ini akan membangun serta menggalakkan sektor pertanian dan pelancongan setempat.
Jelasnya, impak ekonomi secara keseluruhannya akan dapat dinikmati oleh penduduk khususnya di Keningau, Sook, dan Tongod.
“Ini sekali gus dapat meningkatkan taraf sosial ekonomi penduduk kampung yang tinggal di sepanjang jajaran jalan tersebut. Selain itu, kerja-kerja menaik taraf jalan kepada jalan berturap ini juga akan mengurangkan kos penyelenggaraan rutin jalan yang ditanggung oleh kerajaan.
“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur jalan raya yang lebih baik bagi menghubungkan antara kawasan di pedalaman Sabah supaya pembangunan yang lebih seimbang akan di nikmati oleh semua rakyat,” katanya.