PRU 15: Penglibatan IPS sebagai pemerhati luaskan perspektif penulis Sabah

AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN

KOTA KINABALU: Ikatan Penulis Sabah (IPS) mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mempercayakan IPS untuk menjadi badan pemerhati pilihan raya di Sabah. IPS buat pertama kalinya dalam sejarah menghantar dua orang pemerhati lantikan SPR, masing-masing di kawsan Parlimen P.170 Tuaran dan P.171 Sepanggar.

IPS berpuas hati dengan keseluruhan proses yang telah mengambil tempat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Ketua Satu IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin berkata, penglibatan IPS sebagai pemerhati pilihan raya menjadikan IPS sebuah organisasi yang dinamik dan terbuka kepada segala bentuk kelainan dan perubahan.

“Tanpa melupakan asas penubuhannya untuk memartabatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah, IPS  bergerak selangkah ke hadapan dengan turut menyumbang kepada penambahbaikan proses pilihan raya di negeri Sabah,” katanya.

Menurutnya, perkara ini bukan sahaja meluaskan perspektif penulis Sabah terhadap kedinamikan dan keunikan perjalanan demokrasi di Malaysia, tetapi juga mendorong penulis Sabah yang lain untuk menyumbang lebih banyak penulisan yang berkaitan dengannya, baik dalam bentuk penulisan sastera, penulisan media mahupun penulisan akademik.

Dalam hal ini, IPS melihat ke depan untuk menerbitkan karya-karya yang membicarakan proses demokrasi di Malaysia, yang dapat mendorong masyarakat untuk memikirkan Malaysia yang lebih baik untuk generasi yang berikutnya.

Menurutnya, usaha ini termasuklah untuk menyampaikan syor-syor tertentu kepada SPR pada masa hadapan bagi tujuan penambahbaikan proses pilihan raya.

IPS memandang penting perkara ini bagi memastikan kelicinan dan kelancaran proses pilihan raya pada masa depan, tegasnya.

IPS juga mengucapkan tahniah kepada semua yang telah terpilih menjadi Ahli Dewan Rakyat bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

IPS berharap agar wakil-wakil rakyat yang terpilih, terutamanya di Sabah, terus memberikan perhatian dan sokongan yang sewajarnya terhadap industri berasaskan ilmu seperti penulisan, penerbitan dan perkhidmatan kepustakaan,katanya.

scroll to top