PSS cadang Yang Dipertua MAGEBS dilantik sebagai TYT

DATUK HAJI ABDULLAH SIBIL

KOTA KINABALU: Persatuan Sama Sabah (PSS) mencadangkan Yang Dipertua Majlis Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah atau MAGEBS, Datuk Haji Abdullah Haji Sibil dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah untuk menggantikan Tun Haji Juhar Mahiruddin jika  tempoh jawatannya tamat  pada disember tahun ini.

Setiausaha Agung PSS, Etong Terang berkata, Abdullah yang juga Presiden PSS dipilih mengetuai MAGEBS sejak tahun 2016 hingga sekarang memiliki aura kepimpinan  dan disenangi oleh persatuan-persatuan etnik lain di Sabah.

Katanya, beliau menjadi penggerak utama kepada beberapa aktiviti dan program yang berkonsepkan permuafakatan antara etnik-etnik bumiputera di Sabah.

“Ketrampilan serta kredibiliti beliau berjaya menyatukan 34 ketua-ketua etnik bumiputera Sabah dalam satu gabungan yang dikenali sebagai MAGEBS. Situasi ini memberi impak yang cukup besar terhadap peningkatan nilai perpaduan serta keharmonian pelbagai kaum di negeri Sabah,” katanya.

Kepimpinan beliau juga mendapat perhatian ahli-ahli Dewan Usahawan Bumiputra Negeri Sabah (DUBNS) sehingga dipilih menjadi Presiden DUBNS. Selama menerajui DUBNS, beliau sentiasa mengeratkan hubungan baik dengan kerajaan negeri dan NGO lain yang bernaung di bawah DUBNS.

Keterlibatannya  dalam sektor korporat menjadikan beliau terlatih dalam pengurusan pembangunan infrastruktur dan sumber manusia, jelasnya.

Idea, misi serta visi dalam sektor berkaitan menjadikan beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Rafflesia Medical Centre (RMC), Pengerusi A3 Education & Training, Pengerusi Boleh Borneo Oil & Gas Construction Sdn.Bhd, Pengerusi Enigma Borneo Sdn.Bhd dan pelbagai lagi jawatan dalam sektor yang berkaitan.

Pengalaman sebagai penjawat awam selama 35 tahun termasuk ketika berada di Jabatan Pertanian, kemudian berkhidmat di Kementerian Pembangunan Industri. Abdullah  juga pernah berkhidmat selama 17 tahun dalam institusi kewangan di Sabah Credit Corporation sebagai Timbalan Pengurus Besar. Setelah menamatkan perkhidmatan, beliau juga sempat dilantik sebagai Penasihat Korporat kepada institusi berkenaan.

Selain itu, pengalaman terlibat secara aktif dalam NGO lain seperti President of ROTARY Club of Luyang, Pengerusi Masjid Taman Seri Gaya, Kota Kinabalu, President of Society Agricultural Scientist of Sabah (SASS) dan lain-lain lagi NGO. Kini Abdullah adalah Pengerusi Koperasi Perkhidmatan Awam (KHDIMAT)

Menyorot latar belakang sejarah pendidikan, Abdullah  alumni pelajar Sabah College, Kota Kinabalu dan bergiat aktif sebagai Vice President dalam alumni (OSCA) tersebut. Berkelulusan Diploma in Planting Industry and Management, ITM Shah Alam (1976). Memperolehi Bachelor of science Degree di University Of Louisiana, USA (1985) dan Master of Science Degree di Sam Houston State University, Texas (1986). Beliau juga adalah Graduate with Certificate of Distinction-Programme on Investment Appraisal and Management di Harvard University (1996).

“Kebijaksanaan serta toleransi adalah tunjang utama kepimpinan Datuk Haji Abdullah Haji Sibil. Deretan pengalaman dalam perkhidmatan awam, swasta, NGO dan korporat dan juga dalam  aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan menjadikan beliau menghargai permuafakatan dan perpaduan kaum,” katanya.

Berdasarkan wibawa kepimpinan yang seiring dengan ketrampilan yang dimiliki. Sosok tubuh yang sarat dengan kesederhanaan, sahsiah  dan keperibadian terpuji, ramah dalam pergaulan, tiada kesombongan dan menyantuni segenap lapisan masyarakat dari pelbagai etnik bumiputera di Sabah, Datuk Haji Abdullah adalah ‘aset’ terbaik masa kini yang boleh menjadi pilihan utama untuk jawatan TYT negeri Sabah.

Justeru, dengan rasa penuh keinsafan dan tanggungjawab, dengan mendukung 5 prinsip RUKUN NEGARA, Persatuan Sama Sabah (PSS) secara konsensus dan sebulat suara  mencadangkan  beliau dilantik sebagai TYT Negeri Sabah menggantikan Tun Juhar jika  jawatan tersebut tamat tempohnya pada disember tahun ini.

scroll to top