Pukat hantu, ‘hantui’ ekosistem marin perairan Labuan

LABUAN: Perairan Labuan tidak terkecuali daripada ‘dihantui’ masalah pukat hantu, iaitu pukat yang hilang atau terbiar di laut.

Pengarah Perikanan Labuan Faizal Ibrahim Suhaili berkata kini, pukat hantu boleh mengancam dan membahayakan ekosistem marin memandangkan ikan, penyu, ikan lumba-lumba, paus, ikan jerung, anjing laut dan burung boleh terperangkap di dalamnya.

“Memandangkan beratus-ratus haiwan boleh ditangkap di dalam satu pukat, anda dapat melihat betapa besarnya ancaman ini. Kami bekerjasama dengan nelayan tempatan, Kelab Penyelam Labuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan sukarelawan untuk mengeluarkan seberapa banyak mungkin pukat ini,” katanya kepada Bernama.

Operasi yang dijalankan di Rusukan Kecil dan Rusukan Besar pada 19 dan 20 Mac lalu menyaksikan sebanyak 36 kilogram pukat nylon diangkut naik dari dasar laut, katanya.

“Pukat dan Jala itu dipercayai ditinggalkan oleh nelayan tradisional,” katanya.

Faizal Ibrahim berkata operasi serupa akan dijalankan sebelum akhir tahun ini dalam usaha memastikan perairan Labuan bebas daripada pukat hantu.

“Melenyapkan pukat hantu di perairan kita memerlukan komitmen penuh, kerjasama dan inovasi daripada semua pihak terutama nelayan,” katanya.

Beliau berkata pukat hantu adalah penyumbang utama kepada krisis plastik di lautan kerana kebanyakan pukat moden diperbuat daripada nylon atau sebatian plastik lain yang boleh bertahan selama berabad-abad.

“Pukat hantu juga membahayakan terumbu karang, merosakkan batu karang, mendedahkannya kepada penyakit, malah menghalang terumbu daripada cahaya matahari yang sangat diperlukan,” katanya.

Justeru, Faizal Ibrahim menasihati nelayan, termasuk nelayan tradisional dan moden, supaya tidak meninggalkan peralatan menangkap ikan di laut.-BERNAMA.

scroll to top