Rakyat Yakin Kepimpinan Ismail Sabri Urus Negara Di Masa Pandemik

DATUK ROBERT TAWIK @ NORDIN

Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

KOTA KINABALU: Pemilihan Dato Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan oleh Yang di-Pertuan Agong disifatkan sebagai amat tepat sekali berdasarkan pengalaman yang ada padanya.

“Sudah tentu rakyat Malaysia boleh menerimanya, yang dilihat begitu cekap, sabar, tenang, dan boleh diyakini oleh rakyat yang berbilang bangsa, agama bagi memimpin negara, “ kata Naib Presiden 1 StarSabah, Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Sambil mengucapkan setinggi tinggi tahniah kepada Ismail di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9, berkata Malaysia yang sedang dalam krisis kesihatan dan ekonomi ekoran serangan pandemik Covid -19 sejak tahun lepas amat memerlukan pemimpin untuk mengurus rakyat dan negara.

Ismail Sabri mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pukul 2.29 petang.

“Kita berharap tidak ada lagi gangguan dari mana mana pihak terhadap pentadbiran beliau kerana sekarang adalah masa bekerja untuk rakyat yang amat terbeban dan terkesan akibat pandemik Covid19,” kata Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.

Beliau berkata, pemimpin pemimpin kerajaan dan bukan kerajaan perlu bersatu tenaga untuk mengurus rakyat yang dalam kesusahan sekarang ini.

Robert juga berharap kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baharu dapat memberi tumpuan terhadap hak-hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Rakyat Sabah amat menunggu -nunggu, ianya dapat merealisasikan sebelum PRU15,” katanya yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri Sabah.

“Selamat menjalankan tugas buat Perdana Menteri yang baharu. Ini masanya kita bina semula Malaysia yang lebih baik. Ketepikan perselisihan, utamakan rakyat dan negara,” katanya.

scroll to top