Rekod Enam Kes Baharu COVID-19, Beluran Bertukar Jadi Zon Kuning

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Daerah Beluran bertukar menjadi Zon Kuning selepas hampir dua bulan berada dalam Zon Hijau iaitu sejak 17 Mei lepas, dan merekodkan enam kes baharu COVID-19 hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam kenyataannya di sini kelmarin berkata, dalam tempoh berkenaan juga, Beluran turut pernah merekodkan menjadi satu-satunya Zon Hijau di negeri ini.

“Daripada enam kes yang direkodkan di Beluran, satu kes dikesan dari saringan bergejala, manakala lima kes dari saringan lain-lain kes.

“Sabah merekodkan sebanyak 239 kes baharu dan Kota Kinabalu menyumbang jumlah kes tertinggi sebanyak 77 kes diikuti Beaufort 29 kes dan Tawau 26 kes.

“Kudat mencatatkan 19 kes, Kota Belud 18 kes, Putatan 16 kes, Penampang 11 kes, Tuaran sembilan kes, Sandakan tujuh kes, dan Nabawan serta Kota Marudu masing-masing empat kes,” katanya.

Beliau berkata, Lahad Datu dan Keningau masing-masing tiga kes diikuti Sipitang dan Pitas yang mencatat dua kes, manakala tiga daerah merekodkan satu kes iaitu Semporna, Papar, dan Kuala Penyu.

Masidi berkata, dua kes kematian direkodkan di daerah Sandakan dan tiada kluster baharu.

“Daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang direkodkan hari ini, 102 kes atau 42.68 peratus dikesan dari saringan kontak rapat.

“Sebanyak 59 kes berpunca daripada saringan kluster termasuk 30 kes daripadanya dari Kota Kinabalu melalui Kluster Tembok Kota Kinabalu sebanyak 22 kes, Kluster Agora Borneo tujuh kes dan Kluster KKIP Empat Timur satu kes,” jelasnya.

scroll to top