Remaja maut, kepala tersangkut pada enjin bot

SEMPORNA: Seorang remaja dilaporkan maut selepas kepalanya tersangkut pada enjin bot di Kampung Panji, berhampiran Hospital Semporna, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun terbabit dikatakan tersekat pada enjin berkenaan semasa keluar ke laut untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.40 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dan bot kevlar dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba terpaksa berjalan sejauh satu kilometer untuk ke lokasi kejadian berikutan ketiadaan laluan bot.

“Mangsa bagaimanapun didapati sudah dikeluarkan dari bot berkenaan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.

Menurutnya, berdasarkan maklumat ahli keluarga mangsa, kejadian dipercayai berpunca akibat lengan baju jaket mangsa terlilit pada ‘shaft’ penyambung enjin bot pam ketika sedang bergerak di laut

Katanya, kejadian itu menyebabkan tangannya tertarik lalu menyebabkan mangsa terjatuh dan kemudiannya rambut dan kepala mangsa juga terlilit pada ‘shaft’ penyambung berkenaan.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dilokasi kejadian dan seterusnya dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya,”

“Pasukan Bomba kemudiannya membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan pada jam 12.19 tengah hari,” katanya.

scroll to top