Robert Lawat Lokasi Kejadian Tanah Runtuh Di KM 14 Jalan Utama Keningau – Apin-Apin 

PERLU JAMBATAN KEKAL…Robert ditemui media selepas melawat lokasi kejadian tanah runtuh di KM14 Jalan Keningau Apin-Apin.

KENINGAU:  Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri Sabah, Datuk Robert Tawik melawat kejadian tanah runtuh di jalan Kilometer 14 Jalan Utama Keningau – Apin-Apin di Kampung Liau Laut yang tidak dapat dilalui oleh kesemua jenis kenderaan ketika ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar orang ramai yang ingin melalui jalan berkenaan menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Trans Pagalan (Magatang- Ranggom Kapayan).

Berikutan  kejadian ini, Robert yang juga Ahli Dewan Undangaan Negeri (ADUN) N40 Bingkor memohon  Kerajaan Persekutuan agar dapat menyalurkan peruntukan segera bagi pembinaan jambatan kekal di jalan berkenaan.

Jika ianya diluluskan maka pembinaan jambatan kekal ini akan mengambil masa pelaksanaan selama dua tahun.

Oleh itu, sementara menunggu peruntukan berkenaan, Kementerian Kerja Raya Negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membina jambatan separuh kekal yang dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Walau bagaimanapun, pihak konsesi JKR akan membina jalan lencongan bersebelahan jalan tanah runtuh ini yang dijangka siap dalam tempoh seminggu.

Usaha ini bagi memudahkan orang ramai yang menggunakan laluan ini, serta bagi menjimatkan masa, kos dan mengurangkan kesesakan di beberapa laluan.

“Kejadian jalan runtuh ini adalah disebabkan oleh bencana alam. Pihak kami melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

“Semoga usaha ini dipermudahkan dan dapat membantu memudahkan urusan seharian para pengguna laluan ini secepatnya,” katanya.

scroll to top