BINGKOR: Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor hadir melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Pekan Bingkor yang akan dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Tetap yang keempat di daerah Keningau.
PPV kekal pertama adalah di Dewan Masyarakat Keningau, kedua Dewan Kompleks Sukan Keningau, ketiga Dewan Masyarakat Sook dan Dewan Masyarakat Pekan Bingkor adalah yang keempat.
Selain itu, PPV Klinik Bingkor juga akan ditutup dan dipindahkan ke PPV Dewan Masyarakat Pekan Bingkor.
PPV Dewan Masyarakat Pekan Bingkor yang berkapasiti 400 orang pada satu-satu masa ini akan mula beroperasi selepas sahaja pemberian dos kedua untuk Program Outreach dilaksanakan pada 14 dan 15 Ogos 2021 ini.

KEEMPAT…Dewan Masyarakat Pekan Bingkor Pusat PPV keempat di Keningau.
“Semoga dengan pembukaan PPV tetap ini akan dapat mengurangkan kesesakan di PPV yang sedia ada dan seterusnya menjimatkan masa serta memudahkan masyarakat untuk mengambil vaksin Covid-19 di daerah ini,” kata Robert.
Katanya, usaha ini juga dapat menggalakkan masyarakat untuk mendapatkan vaksin Covid-19 kerana operasi pemberian vaksin akan bakal berjalan dengan lancar dan mudah.
Hadir sama pada lawatan ini, wakil Pegawai Daerah Keningau, Daffri Adzahari dan Kamaruddin Latif; Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bingkor, Dr. Ganesh Kumar; Wakil KKM, Dr. Ronald dan kakitangan UPPM DUN Bingkor.