Oleh MARIAYATI MURSIDI
TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menggagalkan aktiviti penyeludupan rokok selepas menyerbu sebuah rumah atas air di Batu 4 dekat sini malam kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, pihaknya mengesan tempat penyimpanan rokok seludup hasil maklumat risikan berkaitan penyeludupan rokok terbabit kira-kira jam 11 malam.
“Semasa serbuan dibuat, penghuni rumah berkenaan telah meninggalkan rumah dan dipercayai menyedari kehadiran polis dengan lebih awal.
“Hasil pemeriksaan dalam rumah berkenaan menjumpai beberapa kotak rokok pelbagai jenis dipercayai diseludup masuk dari negara jiran Indonesia,” katanya menambah, nilai rampasan rokok terbabit dianggarkan berjumlah RM14,694.40.
Beliau berkata, kesemua rokok seludup berkenaan dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, Ridzauddin berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-939 1197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.