Oleh MARIAYATI MURSIDI
SANDAKAN: Sebuah rumah PPR atas air roboh di Kampung Bokara dekat sini petang tadi.
Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menerima panggilan kira-kira jam 3.04 petang berhubung insiden itu.
Sejurus itu, pasukan BBP Sandakan diketuai Komander Operasi PBK II KUP Burhanudin Kadir bersama lima pegawai pelbagai pangkat dengan sebuah jentera FRT digegaskan ke lokasi sejauh 8 kilometer dari balai.
Sebaik tiba di lokasi mendapati sebuah rumah PPR atas air jenis tidak kekal dengan keluasan 20×30 kaki mengalami kerosakan 100 peratus setelah roboh dengan sendirinya berpunca daripada tiang rumah yang reput.
Bagaimanapun semua penghuni di dalam rumah berkenaan dilaporkan selamat.
Pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan di kawasan kejadian untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain.
Operasi ditamatkan pada jam 4.10 petang.