Rumah Musnah Terbakar Di Kg Jawi-Jawi

API MARAK: Sebuah rumah musnah terbakar 100 peratus di Kg Jawi-Jawi, Kota Belud.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA BELUD: Sebuah rumah musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Jawi-Jawi, di sini malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kematian dan kecederaan dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.54 malam.

Sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Kota Belud dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 12 kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal berukuran 20×18 kaki persegi yang terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dua pancutan 300 kaki dengan menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan air terbuka.

Operasi pemadaman terkawal pada jam 11.41 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 12.17 tengah malam.

scroll to top