KOTA KINABALU: Dua keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Kampung Tatahan 2, Inanam, di sini, terbakar.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, rumah yang didiami oleh tujuh mangsa berusia lingkungan 12 hingga 60 tahun itu dilaporkan musnah sepenuhnya.

Kuilan Gamin
Salah seorang mangsa kebakaran, Kuilan Gamin, 57, berkata, dia berada di tempat kerja ketika dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Katanya, sebaik sampai, api sudah memusnahkan sebahagian besar rumahnya dan tiada sebarang harta benda yang dapat diselamatkan.
“Saya buntu dengan nasib keluarga kerana kami tidak ada lagi tempat untuk berteduh selepas ini.
“Ketika ini, kami hanya ditempatkan di Dewan Bersatu Tatahan untuk sementara waktu bersama satu lagi keluarga jiran,” katanya ketika ditemui.
Ibu tunggal yang tinggal bersama dua anaknya itu berkata, mereka berharap agar ada pihak yang sudi tampil membantu keluarganya dan jiran yang turut kehilangan rumah kediaman.

Severinus Jangkah
Seorang lagi mangsa, Severinus Jangkah, 41, berkata, dia tinggal di rumah berkenaan bersama isteri dan dua anak sejak enam tahun lalu.
Namun katanya, selepas ini mereka sekeluarga tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menumpang di rumah keluarga lain untuk sementara waktu.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.31 pagi.
Katanya, sepasukan 16 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba terus bertindak memadam kebakaran menggunakan tiga pancutan sepanjang 60 meter dari sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
“Api berjaya dikawal pada jam 11.21 dan kebakaran tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.16 tengah hari,” katanya.