KOTA KINABALU: Sabah kini berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan ekonomi dengan merekodkan pertumbuhan positif pada kadar 1.1 peratus pada tahun 2021 berbanding penguncupan 9.2 peratus pada tahun 2020.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sabah telah meningkat kepada RM78.7 bilion pada tahun 2021 daripada RM77.8 bilion pada tahun 2020.
KDNK per kapita Sabah juga telah meningkat kepada RM29,960 pada tahun 2021 berbanding RM24,652 pada tahun sebelumnya, tambahnya.
“Pada tahun 2022, Sabah dijangka akan meneruskan momentum pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang positif.
“Dalam tempoh Januari hingga Ogos 2022, Negeri Sabah telah mencatatkan imbangan perdagangan positif sebanyak RM23.5 bilion berbanding RM13.3 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021 iaitu dengan peningkatan sebanyak 77 peratus.
“Pencapaian ini terutamanya disokong oleh peningkatan jumlah keseluruhan eksport negeri dalam tempoh Januari hingga Ogos 2022 sebanyak 54 peratus dan mencecah RM50.4 bilion berbanding RM32.8 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021 yang disumbangkan oleh eksport komoditi utama negeri khususnya petroleum dan minyak sawit mentah.
“Manakala jumlah import direkodkan meningkat sebanyak 35 peratus kepada RM26.5 bilion daripada RM19.5 bilion pada tahun 2021,” kata Hajiji yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2023 Negeri Sabah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini kelmarin.