Sabah Catat 1,514 Kes Baharu

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan peningkatan kes baharu COVID-19 mencecah 1,514 hari ini menjadikan ianya jumlah tertinggi setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata penambahan 131 kes baharu berbanding 1,383 pada hari sebelumnya banyak dipengaruhi oleh kenaikan mendadak di daerah Penampang.

“Peningkatan ketara daripada 80 kes kelmarin kepada 228 dengan penambahan 148 kes iaitu  hampir tiga kali ganda berbanding kelmarin.

“Sebanyak 60.5 peratus kes di Penampang adalah hasil saringan kontak rapat dan 33.3 peratus adalah melalui saringan bergejala.

“Beberapa daerah lain iaitu Keningau turut menambah 61 kes baharu hari ini diikuti Papar yang bertambah 53 kes dan Beluran menambah 46 kes berbanding jumlah hari sebelumnya,” katanya dalam kenyataan harian COVID-19 Sabah hari ini.

Menurutnya catatan kes baharu di Kota Kinabalu pula menurun sebanyak 63 kes bagaimanapun masih mencatatkan kes tertinggi di Sabah dengan 263 kes. Daripada jumlah terbabit 60.5 peratus disumbangkan oleh kontak rapat dan 26.3 peratus lagi adalah melalui saringan bergejala.

“Secara keseluruhan, 925 bersamaan 61 peratus daripada kes hari ini melibatkan kontak rapat, 331 kes adalah melalui saringan bergejala manakala 118 direkodkan daripada kluster-kluster sedia ada.

“Tiga kes masing-masing dikategori pada tahap empat dan lima, 13 kes pada tahap tiga dan 1005 adalah kategori ringan manakala selebihnya masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk pengkategorian.

“Kluster Batu Batu 27 Sook, Keningau merekodkan kluster baharu hari ini dengan 55 dikesan setakat ini selepas penambahan 50 kes baharu setakat ini,” katanya.

Sementara itu hanya lima daerah mencatatkan kes kurang daripada 10 iaitu Tongod sembilan kes diikuti Semporna dan Kinabatangan masing-masing enam kes dan Kudat lima kes manakala Nabawan hanya dua kes.

scroll to top