Sabah Catat 156 Kes Baharu COVID-19 Dengan Dua Kematian Pada Selasa

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 156 kes baharu COVID-19 semalam dengan pertambahan 34 kes lebih tinggi berbanding hari sebelumnya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata pertambahan itu dilihat disebabkan lebih banyak daerah di negeri ini mencatatkan pertambahan kes baharu walaupun dalam jumlah yang kecil.

“Statistik menunjukkan ibu negeri kembali merekodkan jumlah kes yang tertinggi di Sabah dengan 28 kes iaitu kenaikkan sembilan kes lebih tinggi berbanding hari sebelumnya.

“Kenaikan ini juga diikuti oleh Penampang dengan 19 kes iaitu pertambahan 14 kes, Tuaran 18 kes, Kota Belud 15 kes, Sandakan 13 kes dan Papar 11 kes,” katanya.

Masidi berkata sembilan daerah lain bagaimanapun dilihat mencatatkan kes baharu hanya satu angka manakala Keningau, Pitas dan Kalabakan tidak mencatat sebarang kes baharu semalam.

“Daripada 156 kes baharu hari ini, 150 kes adalah dalam Kategori satu dan dua, tiga kes dalam Kategori tiga, tidak ada pesakit dalam Kategori empat dan hanya seorang pesakit dalam Kategori lima.

“Dua kes yang lain masih dalam penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

Tambahnya berdasarkan kepada statistik kes harian kelmarin, jangkaan kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R0/RT) bagi seluruh negara ialah 0.91, dan bagi negeri Sabah, 0.84.

Dalam pada itu menurut Masidi, sebanyak dua kes kematian dilaporkan iaitu di Kota Kinabalu.

Katanya, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.

Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 280 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 230,666 orang.

Manakala 800 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 422 orang di hospital, 371 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, enam orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dan satu orang di fasiliti swasta, katanya, sambil menambah bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 42 orang merangkumi 39 di ICU/repurposed kritikal care serta tiga di open ward (HDW/kubikel akut) dan 11 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 23 (21.50%),” kata Masidi.

scroll to top