Sabah Catat 8 Kematian, 712 Kes Positif, Dua Kluster Baharu

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Sebanyak lapan kematian, 712 kes positif dan dua kluster baharu direkodkan di Sabah, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tiga kes kematian dilaporkan di Sandakan manakala masing-masing satu kematian di Kota Kinabalu, Penampang, Kudat, Tawau dan Beluran.

“Jumlah kes positif hari ini menunjukkan peningkatan sebanyak 196 kes berbanding 516 kes semalam (23 Julai 2021). Peningkatan ini adalah disebabkan berlakunya kes-kes baharu positif COVID-19 di semua daerah di Sabah,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Katanya, penyumbang utama kes hari ini adalah daripada saringan kontak rapat iaitu 383 kes atau 53.8% daripada kumulatif kes harian negeri Sabah, diikuti tambahan kes dari saringan kluster sedia ada dengan 112 kes atau 15.7 % dan saringan bersasar sebanyak 88 kes atau 12.4%.

Jelasnya, seluruh daerah di negeri ini mencatatkan perubahan angka yang tidak statik dan dengan jumlah catatan sebanyak 383 kes daripada saringan kontak rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, seramai 366 pesakit COVID-19 sembuh dan discaj dari hospital.

Masidi berkata, dua kluster baharu direkodkan hari ini ialah Kluster Nosoob Baru, Penampang dan Kluster Jalan Mat Salleh, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Ranau.

“Kluster Nosoob Baru, Penampang merupakan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti. Penularan disyaki berpunca daripada majlis pengebumian di Kg Nosoob Baru pada 10 Julai 2021 melibatkan keluarga dari Kg Nosoob Baru, Kg Pogunon dan Kg Terawi.

“Kes indeks adalah wanita, 28, yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan pra-rawatan pada 13 Julai 2021 dengan keputusan RTK-Ag grading 38%. Setakat hari ini, 17 kes positif termasuk satu kes baharu,” katanya.

Bagi Kluster Jalan Mat Salleh, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Ranau dikategorikan sebagai kluster tempat kerja iaitu bangunan Rumah Persekutuan, Jalan Mat Salleh yang terletak di dalam Mukim Sembulan.

Malah katanya, premis kerajaan ini juga menempatkan pejabat pentadbiran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Angkatan Pertahanan Awam Sabah.

“Kes indeks merupakan pegawai farmasi, lelaki, 26, disahkan positif ujian PCR dengan CT value 19.32 di Klinik Kesihatan Luyang pada 15 Julai 2021, selepas bergejala sejak 14 Julai 2021.

“Setakat hari ini, 258 sampel telah diambil di daerah Kota Kinabalu dengan 18 kes positif dikesan termasuk sembilan kes baharu. Manakala, 54 sampel didapati negatif dan 186 sampel menunggu keputusan ujian saringan.

“Sementara itu, 24 kes pula didaftarkan di luar ibu negeri meliputi tiga kes di Putatan, tiga kes di Ranau, sembilan kes di Papar dan sembilan kes lagi di Penampang sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 42 kes termasuk sembilan kes baharu yang direkodkan pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, daerah Tongod berubah dari Zon Merah ke Zon Jingga, Beluran berubah dari Zon Jingga ke Zon Merah, manakala Tenom, Kunak dan Kuala Penyu berubah dari Zon Kuning ke Zon Jingga.

scroll to top