Sabah Catat Rekod Dengan 1,379 Kes Baharu Hari Ini

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Sabah catat rekod baharu dalam jumlah kes harian dengan 1,379 kes baharu dilaporkan hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah Kota Kinabalu juga mencatat kenaikan 110 kes berbanding kelmarin, yakni 241 naik ke 351 kes, dimana hampir 66% merupakan kontak rapat.

Seramai 83 orang atau 24% merupakan hasil saringan mereka yang bergejala, tambahnya.

“Tuaran mencatat pertambahan daripada 143 kepada 152 kes, Tawau daripada 135 kepada 160 kes, Penampang daripada 92 kepada 113 kes, Putatan daripada 23 kepada 64 kes, Telupid daripada tujuh kepada 72 kes (68 daripada kluster Gambaron 2) dan Kinabatangan daripada 17 kepada 61 kes (60 daripada kluster Pauh),” katanya.

Katanya, kecuali kes-kes yang melibatkan kluster, penambahan yang tinggi berlaku di kawasan perbandaran kerana jangkitan mudah terjadi di tempat kerja dan semasa interaksi sosial.

“Sekali lagi saya menyeru kepada rakyat agar sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) khususnya penjarakan fizikal serta penggunaan pelitup muka, tidak keluar kecuali perlu dan mengurangkan kegiatan-kegiatan sosial,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.

Katanya, saringan kontak rapat menyumbang kes baharu yang terbanyak hari ini, 752 kes (54.5%), sementar bagi saringan bergejala sebanyak 265 kes (19.2%), saringan kluster sebanyak 172 kes (12.5%), saringan bersasar 99 kes (7.2%) dan saringan lain-lain 91 kes (6.6%).

Terdapat juga 17 kes yang melibatkan OKT (orang kena tahan), yakni samada di penjara atau pusat tahanan sementara Imigresen.

“1,277 daripada 1,379 kes hari ini adalah daripada kategori 1 dan 2, dua orang dalam kategori 3, tiga orang dalam kategori 4 dan dua orang dalam kategori 5,” ujarnya.

Pesakit kategori 4 dan 5 memerlukan rawatan rapi (ICU), jelasnya.

95 kes lagi masih dalam siasatan untuk menentukan pengkategorian.

scroll to top