Sabah Dijangka Capai 60 Peratus Vaksin Pertengahan September Ini

TANDATANGANI ... Hajiji semasa menandatangani gambar kenangan sempena lawatan kerja ke Hospital Tuaran.

TUARAN: Sabah dijangka mencapai sasaran 60 peratus rakyat menerima suntikan lengkap vaksinasi Covid-19 menjelang pertengahan September ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sebanyak 560,720 dos vaksin jenis Pfizer, Sinovac dan Cansino bakal tiba pada minggu hadapan yang akan meningkatkan lagi kadar pemberian vaksin di negeri ini.

“Kadar pemberian vaksin di Sabah dianggarkan mencapai sehingga 60,000 dos vaksin sehari dan setakat ini seramai 1.4 juta rakyat Sabah sudah menerima dos suntikan pertama.

SIMBOLIK … Hajiji (kanan) semasa sesi simbolik penyerahan 380 bakul makanan daripada Persatuan Jurutera Perunding Malaysia Sabah (Acem Sabah).

“Dengan perkembangan baik ini, dijangka sasaran 60 peratus tersebut akan dicapai lebih awal iaitu pada 15 September depan dan usaha berterusan ini akan memastikan usaha kerajaan negeri untuk mencapai imuniti berkelompok pada bulan Oktober dapat dicapai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media sempena Lawatan Kerja Ketua Menteri Sabah ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Tuaran dan PPV Dewan Seri Sulaman, pada Sabtu.

Tambah beliau, permohonan kepada kerajaan persekutuan akan dilakukan bagi menaik taraf Hospital Tuaran menjadi hospital bertaraf pakar.

“Ini memandangkan keluasan hospital ini adalah bersesuaian untuk tujuan tersebut serta permintaan rakyat yang menggunakan perkhidmatan hospital juga amatlah tinggi.

SUASANA… Antara suasana sekitar lawatan Hajiji di PPV Dewan Seri Sulaman.

“Selain itu, kerajaan negeri juga berharap klinik kesihatan di daerah Tuaran ini dapat ditambah terutama di kawasan Sulaman dan Pantai Dalit kerana prasarana perubatan dan perkhidmatan kesihatan terbaik perlu diberikan kepada rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata penaiktarafan dan penambahan klinik kesihatan itu penting dalam usaha menyediakan prasarana perubatan dan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, ADUN Pantai Dalit Jasnih Dayah dan Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin.-Penerangan.

scroll to top