Sabah lancar minyak masak ‘Sayang’ 

HAJIJI (tiga kiri) bersama Safar (tiga kanan), Bacho (dua kiri) dan Rubin (dua kanan) menunjukkan minyak masak jenama Sayang pada pelancaran produk di Anjung Selera.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Sawit Kinabalu melancarkan minyak masak jenama sendiri ‘Sayang’, satu inisiatif untuk menjadikan komoditi itu lebih mudah diakses dan mampu dimiliki oleh rakyat.

“Kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat memandangkan kekurangan bekalan minyak masak dan harga yang tinggi sejak akhir-akhir ini,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor, yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu pada majlis pelancaran produk itu di Anjung Selera, Likas, di sini.

“Ini adalah perkara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dan ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat mendapatkan minyak masak mampu milik,” katanya.

Minyak masak sayang dikeluarkan oleh anak syarikat Sawit Kinabalu, Kunak Edible Oil Sdn Bhd (KEOSB).

Boleh didapati dalam botol 1kg, 2kg dan 5kg, harga minyak masak berkualiti tinggi itu jauh lebih murah berbanding jenama minyak masak tidak bersubsidi lain di pasaran.

Harga minyak masak tidak bersubsidi (2kg) ialah RM13.20 manakala RM31.00 untuk botol 5kg.

Harga minyak masak bersubsidi adalah standard iaitu RM2.50 sekilogram, katanya.

Hajiji berkata, kapasiti pengeluaran bulanan Sawit Kinabalu ialah 150 tan untuk minyak masak bersubsidi dan 100 tan untuk minyak masak tidak bersubsidi.

“Saya harap ini dapat menghapuskan isu kekurangan minyak masak di pasaran,” katanya sambil menambah bahawa minyak masak tersebut akan diedarkan ke seluruh Sabah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie berkata, KEOSB akan bekerjasama dengan syarikat tempatan seperti Pasar Raya Sthamin dan beberapa ejen pemasaran lain untuk dilantik memasarkan minyak masak itu.

Sawit Kinabalu menerusi sebuah lagi anak syarikat, Kunak Refinery Sdn Bhd juga akan membekalkan minyak masak bersubsidi (peket 1kg) kepada rakyat di negeri ini.

Terdahulu, Ketua Menteri mengadakan walkabout sambil mengagihkan minyak masak Sayang kepada penjaja makanan yang beroperasi di Anjung Selera.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Pengerusi SEDCO, Datuk Rubin Balang, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Pengurus Besar Sedcovest Holdings, Amir Karim, Pengarah Urusan Sthamin, Busthamin Haji Paita dan ahli lembaga pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu.

scroll to top