Sabah rekod 4,770 kes baharu COVID-19

MASIDI

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 4,770 kes baharu COVID-19 hari ini dengan hanya menyusut sebanyak 237 kes berbanding hari sebelumnya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, jumlah kes harian yang mencatat penurunan marginal sejak tiga hari yang lalu tidak dilihat sebagai satu trend yang akan berterusan, kerana jumlah jangkitan kes sporadik yang kekal tinggi dengan hari i ni, iaitu 63.56 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, daerah-daerah yang mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi juga mencatatkan peratusan tinggi kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik.

“Kes jangkitan sporadik di Kota Kinabalu mencatat 1,198 kes baharu, Penampang 596 kes, Papar 433 kes, Tuaran 412 kes, Tawau 372 kes, Putatan 298 kes dan Kota Belud 192,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, peratusan kes jangkitan sporadik yang tinggi membantu dan memudahkan penularan virus dalam komuniti dengan lebih cepat kepada lebih ramai orang.

Katanya, Kota Kinabalu merekodkan angka tertinggi jangkitan baharu dengan 1,198 kes. Sebanyak 12 daerah lain mencatatkan kes baharu tiga angka.

“Ia termasuklah Penampang 596 kes, Papar 433 kes, Tuaran 412 kes, Tawau 372 kes, Putatan 298 kes, Kota Belud 192 kes, Keningau 143 kes, Beaufort 127 kes, Kota Marudu 121 kes, Sandakan 118 kes, Tambunan 105 kes dan Lahad Datu 103 kes.

“Tambunan mencatatkan pertambahan mendadak daripada 19 kes semalam kepada 105 kes (+96) hari ini. 14 daerah lagi merekodkan kes dua angka,” katanya.

Menurutnya, sejumlah 4,755 daripada 4,770 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, lapan kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.

Masidi berkata, antara pesakit-pesakit baharu ialah 234 kanak-kanak bawah umur 5 tahun (62 orang bayi bawah 1 tahun) yang belum layak divaksin dan 322 kanak-kanak yang berumur antara 5 sehingga 11 tahun yang sudah layak divaksin tetapi belum memperolehinya.

scroll to top