Sabah Rekod Dua Kluster Baharu Tempat Kerja

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan dua kluster baharu tempat kerja hari ini iaitu Kluster Sawit Simpang Batu 38, Nabawan dan Kluster Bawah Bayu, Tuaran.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga jurucakap COVID-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Sawit Simpang Batu 38, Nabawan dikesan hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan pekerja-pekerja sebuah ladang kelapa sawit yang terletak di Batu 38, Nabawan.

MASIDI MANJUN

“Kes indeks merupakan lelaki, 55, dilaporkan positif COVID-19 pada 29 Ogos 2021 hasil saringan individu bergejala, selepas mengalami demam, batuk, sakit sendi bermula 27 Ogos 2021 lalu.

“Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 309 rakan sekerja, ahli keluarga dan kontak kasual mengesan 87 kes positif termasuk 16 kes baharu hari ini, manakala 222 individu didapati negatif sampel pertama.

“Semua kes positif COVID-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke CAC untuk rawatan lanjut dan menjalani pengasingan. Kontak-kontak rapat kes ini juga telah diberikan arahan kuarantin untuk pengasingan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Sementara kes indeks bagi Kluster Bawah Bayu, Tuaran adalah adalah lelaki, 55, dari Kg Betutai yang bekerja di bahagian penghantaran sebuah makmal patologi swasta di Luyang.

“Kes indeks disahkan positif COVID-19 hasil saringan tempat kerja melalui ujian PCR dengan CT Value 32.18.

“Saringan kontak rapat mendapati 11 kontak serumah didapati positif termasuk seorang anaknya yang bekerja sebagai Pegawai Penjara di PRP Kauluan,” katanya.

Masidi berkata, susulan saringan kontak rapat anak kepada kes indeks, 51 lagi dikesan positif termasuk tiga kes dari daerah Kota Kinabalu menjadikan jumlah kumulatif kes positif dalam kluster ini seramai 63 kes (46 kes baharu).

scroll to top