Sabah sasar 50 peratus PICKids menjelang penggal baru persekolahan

Shahelmey (tengah) sempat mengusik murid SK Kg Contoh, Mohd Nor Asraf Jaludin, 11, dengan gula-gula selepas menerima suntikan vaksin.

KOTA KINABALU: Sabah sasar 50 peratus kadar vaksinasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun menjelang pembukaan sesi persekolahan, hujung Mac ini.

Menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir. Shahelmy Yahya, Sabah kini berada di kedudukan kedua terbawah berbanding negeri-negeri lain dalam penerimaan vaksin kelompok usia tersebut.

“Sebenarnya, masih ada ruang untuk meningkatkan kadar tersebut tetapi kita memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa untuk tampil membawa anak-anak mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.

“Sebanyak lapan buah sekolah di Putatan digunakan sebagai PPV dan lima sebagai PICKids.

“Di daerah ini, seramai 1,522 daripada 7,642 kanak-kanak dalam kelompok usia 5 hingga 11 tahun telah mendapat suntikan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke PPV PICKids di SK Kampung Contoh, Putatan, pada Khamis.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Pegawai Daerah Putatan, Haryani Anah Abdul Kahar, Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah, Dr. Balachandar S. Sayapathi.-Penerangan.

scroll to top