Sabah Sasar 60 Peratus Penduduk Divaksin Menjelang Oktober 

HAJIJI HAJI NOOR

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyasarkan 60 peratus penduduk di negeri ini menerima vaksin COVID-19 menjelang Oktober depan, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata mencapai sasaran itu akan membolehkan lebih banyak sektor perniagaan dan perkhidmatan dibuka semula termasuk pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Katanya bagi mencapai sasaran itu, Sabah memerlukan 600,000 dos vaksin bulan ini dan 1.2 juta dos bulan depan, justeru beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat membantu Sabah membekalkan jumlah dos tersebut.

“Kami mahu mengekalkan momentum (vaksinasi) untuk memastikan penduduk mendapat vaksin secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau menerima kunjungan Jawatankuasa Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) diketuai presidennya Datuk K.L Tan di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini.

Mengenai cadangan MATTA untuk menghidupkan semua industri pelancongan pasca COVID-19, Hajiji berkata kerajaan negeri akan memastikan industri pelancongan di Sabah akan berjaya melalui pelan pemulihan pelancongan yang komprehensif.

“Di bawah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0 kerajaan memperuntukkan RM2.88 juta untuk diagihkan kepada pemandu pelancong, penyelam, malim gunung, porter, pengusaha hotel dan pengendali inap desa yang terjejas akibat pandemik itu,” katanya.-Bernama.

scroll to top