Sabah Taim, IPS Anjur Sayembara Penulisan Rencana Kemerdekaan

MOHD AZRONE SARABATIN

Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

KOTA KINABALU: Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2021, portal Berita Sabah Taim dengan kerjasama Ikatan Penulis Sabah (IPS) akan menganjurkan Sayembara Penulisan Rencana Perjalanan Pembentukan Malaysia bertema ‘Wira tak Didendang’.

Pengerusi Penganjur, Mohd Azrone Sarabatin, berkata penyertaan terbuka kepada semua ahli IPS, penulis muda yang berminat untuk menganggotai IPS, belia, pelajar universiti awam serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), dan siswa guru Institut Pendidikan Guru (IPG) berasal dari Sabah.

Katanya, tokoh tidak didendang dalam konteks penganjuran sayembara ini adalah pejuang kemerdekaan yang kurang dikenali tetapi jasa mereka cukup besar dalam perjalanan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, antara tokoh itu adalah Panglima Alli Imam Abbas Sani , Raja Ismail, Raja Tebuk, Sharif Uthman, Raja Laut,  Antanom, Sagunting, Langkap, Panglima Udun, Mat Sator, Kamunta, Datu Mamuda, Datu Kedunding, Andamun, dan Pengiran Indera Jaya.

“Program ini dianjurkan untuk memberikan manfaat, pendedahan dan pemangkin ke arah memupuk nilai-nilai murni dan perpaduan antara kaum menerusi penulisan kreatif tokoh berjasa tetapi kurang dikenali ke arah kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Penyertaan dibuka sejak  18 Ogos  hingga 18 Oktober ini dengan mood pertandingan dan penyampaian hadiah dijangka pada 31 Oktober adalah secara adalah atas talian.

Setiap peserta dikenakan yuran penyertaan RM10 dan hanya dibenarkan menghantar sebuah karya.

Keterangan lanjut boleh menghubungi Mohd Azrone di talian 0128202825 atau emel azrone75@gmail.com.

Mohd Azrone yang juga Pengarang portal Sabah Taim berkata, objektif sayembara itu mencakupi membuka minda rakyat Sabah tanpa mengira usia, latar belakang kerjaya dan tahap ekonomi untuk bersama membuat kajian berhubung tokoh yang pernah didengar namanya tetapi belum didokumentasi perjuangan mereka.

Seterusnya katanya, mencungkil bakat dalam bidang penulisan rencana bertema sejarah Sabah, memberi ruang kepada peserta mendedahkan tokoh-tokoh sejarah belum dikenali tetapi berjasa ke arah pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, ia juga untuk memberi  pengetahuan terhadap peristiwa bersejarah, tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dan tarikh-tarikh penting diingati oleh setiap peserta.

“Penganjur juga akan memastikan komitmen dan daya saing yang positif dalam kalangan peserta dalam mewujudkan semangat perpaduan antara kaum dan saling menghormati kerana kebanyakan tokoh pejuang kemerdekaan mempunyai pengikut kalangan masyarakat majmuk,” katanya.

scroll to top