Sabah Terima 1,000 Bakul Makanan LHDN

SERAH ... Sabin (kiri) menyerahkan replika cek kepada Tun Juhar.

KOTA KINABALU: Sabah menerima bantuan 1,000 bakul makanan di bawah Program Prihatin Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, bantuan terbabit merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Nur Jauhar (YNJ).

SAMPAIKAN… Tun Juhar (kiri) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penerima.

“Program Prihatin LHDN ini merupakan satu program yang diadakan di seluruh negara.

“Sebanyak 1,000 bantuan bakul makanan diedarkan di seluruh Sabah yang mana 600 daripadanya akan diedarkan dengan kerjasama YNJ ke daerah-daerah di sekitar Kota Kinabalu.

CENDERAHATI….Sabin (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Al Hambra.

“Manakala bakinya akan diagihkan oleh LHDN Cawangan Tawau dan Sandakan kepada golongan terjejas di sebelah pantai timur Sabah.

“Bantuan ini disasarkan kepada golongan yang memerlukan bantuan khususnya mereka yang terkesan akibat wabak pandemik.

“Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban masyarakat yang ketika ini menghadapi kesusahan akibat kehilangan pekerjaan dan sebagainya,” ujarnya selepas Program Penyerahan Simbolik Sumbangan Bakul Makanan Prihatin LHDN Peringkat Negeri Sabah di Istana Negeri, hari ini.

KENANGAN … Sesi foto Tun Juhar (tengah) bersama rombongan LHDN.

Pada program tersebut, Tun Juhar yang juga penaung yayasan berkenaan menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penerima.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Penasihat YNJ, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dan Pengerusi YNJ, Brigedier Jeneral Al Hambra Juhar.-Penerangan.

scroll to top