Sabah tiada fasiliti sesuai pengasingan gajah berbahaya

KOTA KINABALU: Sabah pada masa ini tidak mempunyai fasiliti pengasingan untuk gajah dapat bergerak bebas, kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga.

Beliau berkata pada masa ini juga terlalu banyak gajah berada dalam kurungan dan fasiliti sedia ada tidak mampu menampung kebebasan haiwan itu bergerak dalam kawasan yang mencukupi keluasannya.

Augustine Tuuga.

“Kita akan ikhtiarkan untuk gajah ini mempunyai kebebasan bergerak dengan menempatkan haiwan ini di fasiliti yang ada kemudahan sedemikian. Sabah tidak memiliki kemudahan sedemikian kecuali kerajaan dapat beri peruntukan mencukupi untuk sediakan,” katanya ketika dihubungi pemberita kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kematian seorang petugas Taman Hidupan Liar Lok Kawi di sini Ahad lepas akibat diserang seekor gajah dewasa ketika memberi rawatan kepada anak gajah yang cedera.

Tuuga berkata gajah yang menyebabkan kematian lelaki berusia 49 tahun itu telah ditempatkan di kawasan pengasingan dan langkah itu diharap hanya sementara kerana kebebasan haiwan itu dinafikan malah kebiasaannya terpaksa dirantai.

Beliau berkata langkah lain adalah menghantar gajah berbahaya tersebut ke luar negara yang mempunyai kemudahan mencukupi bagi membolehkan haiwan itu dapat bebas bergerak tanpa dikurung di tempat sempit atau dirantai.

“Kebajikan gajah adalah aspek paling penting bagi pengurusan gajah dalam kurungan bagaimanapun bilangan kakitangan yang menjaga haiwan itu (di taman itu) adalah sangat kurang daripada bilangan yang sepatutnya. Kebanyakan pekerja ditaja atau dibayar gaji oleh badan bukan kerajaan,” katanya.

Sabah mempunyai spesis gajah unik iaitu Gajah Pigmi atau Elephas maximus borneensis selalunya terdapat di kawasan utara kepulauan Borneo yang saiznya dilihat lebih kecil berbanding gajah di Semenanjung daripada spesis Elephas maximus indicus.

Gajah spesis Asia atau Elephas maximus pada masa ini diklasifikasikan dalam kategori spesies terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) sejak 18 Sept 2019 akibat populasinya yang semakin berkurangan.-BERNAMA.

scroll to top