Sabah Tuan Rumah Sambutan Hari Malaysia 2021

BUNG MOKTAR

KOTA KINABALU: Sabah  sekali lagi dipilih sebagai  tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Sri  Bung Moktar Radin berkata sambutan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC)  pada malam 16 September  akan datang.

Katanya, perkara ini telah dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa induk Hari Malaysia  secara maya yang dipengerusikan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato Saifuddin Abdullah pada Selasa.

“Bagi pihak Kabinet Negeri, kami berterima kasih dan menghargai  keputusan Kerajaan Pusat atas kepercayaan dan penghormatan yang  diberikan untuk Sabah sekali lagi menganjurkan program ini,” katanya ketika ditemui selepas menyertai mesyuarat secara maya itu di Bangunan Umno Sabah di sini.

Menurut Bung yang juga Pengerusi  Bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia di peringkat negeri, bagi mempastikan kelicinan perjalanan program ini, beberapa siri mesyuarat jawatankuasa  pelaksana di peringkat negeri  bersama beberapa jabatan dan agensi berkaitan telah pun diadakan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya berikutan pandemik COVID-19 yang masih melanda negara , sambutan akan diadakan  dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP).

“Ia akan berlangsung di tempat tertutup dengan  penjarakan sosial, dengan kehadiran yang terhad yang  dianggarkan sekitar 500 orang bagaimana pun ianya bergantung kepada setuasi semasa penularan Pandemik Covid-19 di  negeri ini,” katanya.

Menyentuh dengan pengisian program Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pelbagai acara telah siap disusun antaranya, Majlis Tahlil, Persembahan Koir, Acara Potong Kek Hari Malaysia, dan Tayangan Montaj.

Tambah Bung, selaras dengan tema tahun ini ialah ‘Malaysia Prihatin’ satu persembahan khas dari artis-artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ turut di persembahkan bagi mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dalam menangani wabak COVID-19.

“ Kita berharap melalui sambutan Hari Malaysia bukan sahaja menyuntik semangat patriotik rakyat Malaysia khususnya di kalangan genersi muda, dalam pembentukan negara yang bersatu padu dan harmoni, namun melalui sambutan ini kita mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama bersoladariti memerangi pandemik COVID-19,” katanya.-Sumbangan JAW.

scroll to top