Sabah tuntut kuasa ordinan pendaftaran keluar dokumen pengenalan

Jalumin (kiri) dan Paul (tengah) ketika TGM Dayak.

Oleh HENRY BATING

KOTA KINABALU: Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Kongres Kebangsaan Dayak (DNC) di Kuching dua hari lalu bersetuju meminta Kerajaan Persekutuan mengembalikan kuasa Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian kepada Sabah dan Sarawak.

Jalumin Bayogoh yang dipilih Naib Presiden DNC berkata, resolusi tersebut adalah bersesuaian dengan autonomi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang juga berkaitan dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan tahun lalu.

Langkah tersebut merupakan sebahagian kaedah penyelesaian masalah penduduk asal dan warga asing tanpa dokumen di Sabah,” katanya yang juga Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah.

Jalumin menegaskan, penurunan kuasa ordinan pendaftaran dapat memberi peranan signifikan ke atas pengumpulan data warga asing yang dipertanggunjawabkan kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan.

Menurut Jalumin, beliau sependapat dengan Presiden DNC Paul Raja yang menyatakan bahawa penurunan kuasa pendaftaran itu lebih berperikemanusiaan, memihak kepada yang berhak dan memahami masalah serta penyelesaian.

Seterusnya Jalumin yang juga Timbalan Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD) menyuarakan aspirasi pucuk pimpinan STAR yang menuntut agar Sabah diberi kuasa mengeluarkan Kad Pengenalan di bawah kementerian di negeri ini.

Jelas Jalumin, tanpa kuasa pendaftaran, data-data dan pelbagai rekomendasi yang dihasilkan suatu jawatankuasa tidak mampu mencapai matlamat kerana keputusan penyelesaian ditentukan pihak Persekutuan.

scroll to top